Thursday, September 10, 2009

STRATEGI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BAHASA MELAYU

PENDAHULUAN

Pendidikan peringkat rendah adalah pendidikan yang bertujuan untuk melahirkan insan yang seimbang serta berkembang secara menyeluruh dan bersepadu dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani selaras dengan hasrat Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan Falsafah Pendidikan Negara.

Pada peringkat ini, Bahasa Melayu diajarkan sebagai mata pelajaran wajib, selaras dengan status Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Bahasa Melayu perlu dikuasai pada peringkat awal bagi membolehkan murid-murid berkomunikasi dan menimba ilmu pengetahuan, seperti kata pepatah Melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah telah memuatkan senarai kemahiran asas berbahasa dan tatabahasa yang perlu dikuasai oleh murid dari Tahun 1 hingga Tahun 6. Kemahiran-kemahiran berbahasa ini meliputi kemahiran lisan (mendengar dan bertutur), membaca, dan menulis. Tatabahasa pula meliputi aspek morfologi dan sintaksis bahasa Melayu.
Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah ini pula, mengandungi perincian, penjelasan serta huraian tentang Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu. Di dalam Huraian Sukatan Pelajaran ini, dimuatkan senarai kecekapan berbahasa dalam kemahiran mendengar dan bertutur, membaca, menulis, tatabahasa, penjodoh bilangan, peribahasa, dan perbendaharaan kata yang sesuai bagi peringkat persekolahan murid.

Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu untuk Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina (C) dan Tamil (T) disempurnakan dengan mengambil kira tahap kebolehan dan kemampuan murid di SJK(C) dan (T). Oleh itu, Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu untuk SJK(C) dan (T) agak berbeza daripada Sekolah Kebangsaan dari segi huraian, senarai kemahiran berbahasa, contoh-contoh peribahasa, tatabahasa, dan jumlah perbendaharaan kata yang dicadangkan.
Huraian Sukatan Pelajaran ini merupakan satu cadangan, dan guru-guru tidak seharusnya terikat kepada cadangan-cadangan yang dikemukakan. Sekiranya didapati ada di antara cadangan-cadangan ini tidak sesuai dengan keadaan bilik darjah, guru-guru boleh mengubah dan menyesuaikannya dengan kebolehan dan kemampuan murid. Huraian Sukatan Pelajaran ini juga boleh digunakan untuk merancang pengajaran dan pembelajaran mengikut penggal, mingguan, dan harian di dalam bilik darjah.

MATLAMAT

Matlamat mata pelajaran Bahasa Melayu sekolah rendah ialah untuk melahirkan murid yang berketrampilan berbahasa dan menghargai serta menghayati bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara, bahasa perpaduan dan bahasa ilmu, sesuai dengan semangat Rukun Negara dan Falsafah Pendidikan Negara.

OBJEKTIF

Setelah mengikuti mata pelajaran Bahasa Melayu di sekolah rendah murid dapat:
· mendengar, memahami dan menghayati pertuturan yang terdapat dalam kehidupan sehari-hari;
· bertutur dengan petah dan mengeluarkan buah fikiran yang bernas serta menggunakan bahasa yang sesuai dan bertatasusila;
· membaca untuk memahami isi bacaan yang sesuai dengan kematangan;
· menjadikan pembacaan sebagai satu kebiasaan dan amalan bagi mendapatkan pengetahuan dan hiburan;
· menulis pelbagai jenis karangan dan surat kiriman mengikut tajuk dan format yang betul;
· memahami dan mengisi borang yang sesuai dengan betul;
· menghargai dan menghayati nilai-nilai estetika dalam karangan prosa dan puisi;
· menggunakan bahasa Melayu untuk memperoleh pelbagai ilmu;
· menggunakan bahasa Melayu yang betul dalam lisan dan penulisan;
· memberi makna dan menggunakan peribahasa dalam konteks yang betul dan sesuai; dan
· menggunakan bahasa Melayu dengan berkesan untuk berkomunikasi antara ahli masyarakat yang berbilang keturunan.

STRATEGI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

Strategi pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu di peringkat sekolah rendah menekankan penggabungjalinan, penyerapan, penilaian, pengayaan, dan pemulihan. Ini selaras dengan usaha memenuhi konsep bersepadu dalam Falsafah Pendidikan Negara. Namun demikian, guru-guru adalah digalakkan untuk menggunakan pelbagai kaedah mengajar yang sesuai dengan kebolehan murid. Keberkesanan pengajaran dan pembelajaran adalah bergantung kepada pengolahan teknik dan penggunaan bahan bantu mengajar yang dapat merangsang dan menggalakkan murid-murid berkomunikasi, berinteraksi, dan berfikir.

1.)PENGGABUNGJALINAN

Penggabungjalinan memainkan peranan penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Melalui proses ini, beberapa kemahiran dapat dikuasai serentak. Cara ini juga dapat mengelakkan kebosanan dalam proses pembelajaran. Kemahiran-kemahiran boleh digabungjalinkan, sama ada kemahiran yang terdapat dalam kemahiran berbahasa atau kemahiran daripada mata pelajaran lain.

2.) PENYERAPAN

Dalam pengajaran bahasa Melayu, unsur-unsur ilmu dan nilai-nilai murni juga boleh diserapkan. Penyerapan ini mengandungi pelbagai bidang ilmu seperti sains, matematik, sejarah, dan lain-lain.

3.) PENGAYAAN

Program pengayaan perlu diberi penekanan dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah kerana keadaan murid yang berbeza dari segi kebolehan, keupayaan, bakat, dan minat. Murid ini hendaklah diberikan bahan yang berbeza-beza untuk digunakan secara bersendirian atau dengan bimbingan guru. Bahan-bahan seperti bahan bacaan tambahan, kad-kad kerja, permainan, dan bahan-bahan aktiviti boleh diberikan kepada murid yang telah menguasai kemahiran-kemahiran dalam jangka masa yang ditetapkan atau lebih awal daripada jangka masa yang ditentukan.

4.) PEMULIHAN

Program pemulihan disediakan untuk membantu murid menguasai kemahiran-kemahiran asas yang belum dapat dikuasai dalam tempoh masa yang ditetapkan. Bahan-bahan untuk program ini terdiri daripada kad-kad, carta, bahan maujud, alat permainan, dan lain-lain yang boleh digunakan berperingkat-peringkat daripada yang mudah kepada yang lebih sukar. Pelaksanaan program ini adalah mengikut kadar kemampuan murid menguasai sesuatu kemahiran.

5.) PENILAIAN

Penilaian dianggap sebagai sebahagian daripada proses pengajaran dan pembelajaran. Penilaian merupakan suatu aktiviti untuk mendapatkan maklumat yang berguna bagi menentukan pencapaian sesuatu objektif pengajaran atau pembelajaran. Oleh itu, penilaian perlulah dijalankan berterusan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Hanya melalui proses penilaian berterusan dapat dipastikan jenis tindakan susulan yang perlu diambil ke atas seseorang murid, sama ada untuk menjalankan pemulihan atau pengayaan. Dan setelah itu barulah dapat dipastikan jenis aktiviti pemulihan atau aktiviti pengayaan yang sesuai bagi murid. Dengan cara yang sedemikian, selain mengetahui tahap pencapaian, kelemahan murid dapat dipulihkan sebelum kelemahan-kelemahan pembelajaran terkumpul di tahap yang lebih tinggi.

Wednesday, September 2, 2009

Wednesday, August 19, 2009

PERIBAHASA MELAYU

Peribahasa 1

BARU HENDAK BERTUNAS SUDAH DIPETIK, LAMA-LAMA MATILAH POKOKNYA

Kalau pokok yang bertunas atau baru berpucuk muda dipetik lama kelamaan pokok yang baru nak hidup itu akan mati juga akhirnya.Kebanyakan ahli perniagaan kita mengikut adat resam yang inilah. Belum siap projek dapat bayaran separuh dan beli kereta besar dan sebagainya. Akhirnya projek tidak siap.

Peribahasa 2

NAIK MEMBILANG ANAK TANGGA, TURUN SELANGKAH JEJAKLAH BUMI

Naik membilang anak tangga. Apa maksudnya? Cuba bayangkan bila kita naik tangga, kita selalu mengira anak tangga. Sebab apa? Sebab kita tahu naik tangga itu penat. Ambil masa nak sampai ke atas. Tapi .....bila turun sekejap saja bukan?Maksud peribahasa 'Naik membilang anak tangga, turun selangkah jejaklah bumi' ialah untuk memperolehi kejayaan selalunya memang lambat, tetapi apabila hendak jatuh mudah sekali. Malangnya dalam kehidupan biasanya bila kita jatuh, barulah kita tahu siapa kawan dan siapa lawan.Sebab itu, jatuh itupun nikmat dari Allah s.w.t. Dari situlah kita bermuhasabah diri. Ingat! Sentiasa berusaha dahulu, barulah kita berserah kepadaNya.Bagi mereka yang cuba mengecap kejayaan, berhati-hatilah dan semoga berjaya!

Peribahasa 3

AIR TAWAR SECAWAN DITUANG KE LAUT, TAKKAN DAPAT MENGHILANGKAN RASA MASINNYA.

Di mana ada air tawar secawan boleh mendatangkan kesan ke atas air laut? Kemasinan air laut itu tentu tidak terjejas.Maksudnya pertolongan yang sedikit tidak dapat meringankan beban yang besar.

Peribahasa 4

AIR DI CUCURAN ATAP, JATUHNYA DI PELIMBAHAN JUGA

Air hujan yang jatuh di bumbung rumah akan mengalir di cucuran atap terlebih dahulu. Air ini adalah bersih kerana berada di tempat yang tinggi. Namun, akhirnya jatuh juga di longkang (pelimbahan) yang mana kotor sebagaimana air yang lain juga.Maksudnya seorang anak walaupun dilahirkan bersih, semakin lama ia akan mengikut perilaku ibu bapa atau asal keturunannya.Jangan biar air jatuh di pelimbahan tetapi jatuh di takungan simpan. Guna didikan agama.

Peribahasa 5

ADAKAH DARI TELAGA YANG JERNIH ITU MENGALIR AIR YANG KERUH?

Kalau sudah perigi itu menghasilkan air yang jernih, sudah tentulah air yang mengalir keluar juga jernih. Memang tidak munasabah jika dari telaga yang jernih mengalir air yang keruh.Maksudnya ialah mana mungkin orang yang berpendidikan melakukan perkara-perkara keji atau mengeluarkan kata-kata kotor....Ingat!!! Ilmu didikan hati bukan didikan otak.

Peribahasa 6

ADAKAH AIR YANG PENUH DI DALAM TONG ITU BERKOCAK, MELAINKAN AIR YANG SETENGAH TONG ITU JUGA YANG BERKOCAK?

Tong ialah sebuah bekas yang biasanya besar dan berbentuk selinder yang kebiasaannya digunakan untuk mengisi air. Sekiranya tong itu penuh dengan air, sudah tentulah air di dalam tong itu tidak berkocak. Namun, sekiranya setengah sahaja tong berisi air sudah tentulah air itu akan berkocak akibat goncangan yang kuat.Maksud peribahasa ini ialah orang yang tidak berilmu juga yang banyak bercakap.Maka hati-hati bila bercakap. Prof. Dr. Hamka pernah berkata kalau kita hendak lihat tahap pemikiran seseorang itu, lihatlah cara dia bercakap.

MASYARAKAT MELAYU

SISTEM EKONOMI
Bagi orang Melayu yang tinggal di desa, majoritinya menjalankan aktiviti pertanian dan menangkap ikan. Aktiviti pertanian termasuklah mengusahakan tanaman padi,kelapa sawit, kelapa, dan tanaman campuran (mixed farming). Orang Melayu yang tinggal di kota kebanyakannya bekerja dalam sektor awam, sebagai pekerja di sektor perindustrian, perdagangan, pengangkutan, dan lain-lain. Penguasaan ekonomi dalam kalangan orang Melayu perkotaan relatif masih rendah dibandingkan dengan penguasaan ekonomi oleh penduduk non-pribumi, terutamanya orang "Tionghoa". Tetapi kini telah ramai orang Melayu yang telah berjaya dalam bidang perniagaan dan menjadi ahli korporat. Ramai yang tinggal di bandar-bandar besar dan mampu memiliki kereta mewah dan rumah banglo. Selain itu juga, ramai orang Melayu mempunyai pendidikan yang tinggi, samada universiti tempatan mahupun luar negara.

SISTEM POLITIK
Sistem politik Melayu adalah secara musyawarah. Musyawarah dijalankan didalam lumbung yang dipimpin oleh ketua atau pemangku adat setempat. Lumbung disini bukan hanya tempat penyimpanan padi atau hasil bumi lainnya, namun juga berfungsi sebagai wadah untuk menyimpan segala aset masyarakat setempat untuk mengangkat harkat dan martabat hidup pribumi setempat. musyawarah yang dijalankan biasanya membahas mengenai pengelolaan sistem tanah adat berdasarkan budaya dan adat setempat. Sehingga, sistem musyawarah yang dijalankan akan memiliki corak yang berbeza antara daerah yang satu dengan yang lainnya.

AGAMA DAN KEPERCAYAAN
Orang Melayu hampir seluruhnya beragama Islam. Namun demikian, sisa-sisa unsur agama Hindu dan animisme masih dapat dilihat dalam sistem kepercayaan mereka. Islam tidak dapat menghapuskan keseluruhan unsur kepercayaan tersebut.

ADAT ISTIADAT
Adat istiadat Melayu banyak memperlihatkan campuran unsur lokal dan unsur luar selaras dengan kedatangan pengaruh Hindu, Islam, dan Barat ke Alam Melayu. Dalam pemerintahan Malaysia, unsur-unsur adat yang tidak bertentangan dengan ajaran Islam dibenarkan. Melalui “principle of co-existence” ini orang Melayu dapat menyesuaikan adat dan agama secara harmonis, walaupun ada aspek-aspek tertentu yang bertentangan tapi terus diamalkan.

KESENIAN
Dalam masyarakat Melayu, seni dapat dibahagikan kepada dua: seni persembahan (tarian, nyanyian, persembahan pentas seperti makyong, wayang kulit, ghazal, hadrah, kuda kepang) dan seni tampak (seni ukir, seni bina, seni hias, pertukangan tangan, tenunan, anyaman dll). Permainan tradisi seperti gasing, wau, congkak, juga termasuk dalam kategori seni persembahan. Kegiatan seni Melayu mempunyai identitas tersendiri yang juga memperlihatkan gabungan berbaga-bagai unsur tempatan dan luar.

SISTEM KEKELUARGAAN DAN PERKAHWINAN
Dari segi kekeluargaan, masyarakat Melayu dibahagikan kepada dua kelompok iaitu yang mengamalkan sistem kekeluargaan dwisisi (bilateral)dan yang mengamalkan sistem kekeluargaan nasab ibu (matrilineal system). Tetapi disebabkan kedua-dua kelompok tersebut menganut agama Islam, maka sistem kekeluargaan Melayu itu banyak dipengaruhi oleh sistem kekeluargaan Islam.
Orang Melayu melakukan perkawinan monogami dan poligami. Bentuk perkawinan endogami (pipit sama pipit, enggang sama enggang), eksogami juga terjadi, malah di sebagian tempat diutamakan. Perkawinan campur juga ada. Semua perkawinan Melayu dijalankan mengikut peraturan dan undang-undang perkawinan Islam (Mazhab Shafie).

PENDIDIKAN
Sebelum penjajahan, orang Melayu mendapat pendidikan agama. Semasa penjajahan, peluang pendidikan sekular adalah terbatas, dan lebih terpusat di daerah perkotaan. Pendidikan sekular hanya dikembangkan selepas merdeka. Kini, pendidikan sekular menjadi saluran mobiliti sosial yang utama dalam kalangan orang Melayu. Kewujudan kelas menengah Melayu di Malaysia adalah melalui saluran pendidikan.

DEFINISI MELAYU

Pemerintah Malaysia mendefinisikan Melayu sebagai penduduk pribumi yang bertutur dalam bahasa Melayu, beragama Islam, dan yang menjalani tradisi dan adat-istiadat Melayu. Tetapi dari segi definisi budaya (cultural definition), Melayu itu merangkumi seluruh penduduk pribumi di Dunia Melayu (Nusantara dalam pengertian di Malaysia), yaitu penduduk serumpun tidak kira agama, bahasa, dan adat istiadat masing-masing yang diikuti oleh masing-masing kelompok serumpun tersebut. Walau begaimana pun jua, dalam artikel ini, definisi Melayu mengikuti definisi Pemerintah Malaysia.

Di Malaysia, penduduk pribumi dari keturunan suku-suku di Indonesia, seperti Minang, Jawa, Aceh, Bugis, atau Mandailing, yang bertutur dalam bahasa Melayu, beragama Islam dan mengikuti adat-istiadat Melayu, semuanya dianggap sebagai orang Melayu. Bahkan orang bukan pribumi yang berkawin dengan orang Melayu dan memeluk agama Islam juga diterima sebagai orang Melayu.

MASYARAKAT MELAYU DI MALAYSIA

Masyarakat Melayu adalah salah satu komponen dari bangsa Malaysia. Kebanyakan adalah penduduk setempat yang telah menghuni wilayah Semenanjung Malaya dan Pulau Borneo bagian barat laut. Masyarakat Melayu di Malaysia kebanyakan adalah sama dengan masyarakat Melayu yang berdiam di beberapa wilayah Indonesia, meskipun di beberapa wilayah merupakan kelompok tersendiri (misalnya di Sarawak, Sabah, atau Kelantan). Meskipun demikian, Undang-undang Dasar Malaysia memiliki batasan tersendiri mengenai kemelayuan di negara itu.