Wednesday, August 19, 2009

PERIBAHASA MELAYU

Peribahasa 1

BARU HENDAK BERTUNAS SUDAH DIPETIK, LAMA-LAMA MATILAH POKOKNYA

Kalau pokok yang bertunas atau baru berpucuk muda dipetik lama kelamaan pokok yang baru nak hidup itu akan mati juga akhirnya.Kebanyakan ahli perniagaan kita mengikut adat resam yang inilah. Belum siap projek dapat bayaran separuh dan beli kereta besar dan sebagainya. Akhirnya projek tidak siap.

Peribahasa 2

NAIK MEMBILANG ANAK TANGGA, TURUN SELANGKAH JEJAKLAH BUMI

Naik membilang anak tangga. Apa maksudnya? Cuba bayangkan bila kita naik tangga, kita selalu mengira anak tangga. Sebab apa? Sebab kita tahu naik tangga itu penat. Ambil masa nak sampai ke atas. Tapi .....bila turun sekejap saja bukan?Maksud peribahasa 'Naik membilang anak tangga, turun selangkah jejaklah bumi' ialah untuk memperolehi kejayaan selalunya memang lambat, tetapi apabila hendak jatuh mudah sekali. Malangnya dalam kehidupan biasanya bila kita jatuh, barulah kita tahu siapa kawan dan siapa lawan.Sebab itu, jatuh itupun nikmat dari Allah s.w.t. Dari situlah kita bermuhasabah diri. Ingat! Sentiasa berusaha dahulu, barulah kita berserah kepadaNya.Bagi mereka yang cuba mengecap kejayaan, berhati-hatilah dan semoga berjaya!

Peribahasa 3

AIR TAWAR SECAWAN DITUANG KE LAUT, TAKKAN DAPAT MENGHILANGKAN RASA MASINNYA.

Di mana ada air tawar secawan boleh mendatangkan kesan ke atas air laut? Kemasinan air laut itu tentu tidak terjejas.Maksudnya pertolongan yang sedikit tidak dapat meringankan beban yang besar.

Peribahasa 4

AIR DI CUCURAN ATAP, JATUHNYA DI PELIMBAHAN JUGA

Air hujan yang jatuh di bumbung rumah akan mengalir di cucuran atap terlebih dahulu. Air ini adalah bersih kerana berada di tempat yang tinggi. Namun, akhirnya jatuh juga di longkang (pelimbahan) yang mana kotor sebagaimana air yang lain juga.Maksudnya seorang anak walaupun dilahirkan bersih, semakin lama ia akan mengikut perilaku ibu bapa atau asal keturunannya.Jangan biar air jatuh di pelimbahan tetapi jatuh di takungan simpan. Guna didikan agama.

Peribahasa 5

ADAKAH DARI TELAGA YANG JERNIH ITU MENGALIR AIR YANG KERUH?

Kalau sudah perigi itu menghasilkan air yang jernih, sudah tentulah air yang mengalir keluar juga jernih. Memang tidak munasabah jika dari telaga yang jernih mengalir air yang keruh.Maksudnya ialah mana mungkin orang yang berpendidikan melakukan perkara-perkara keji atau mengeluarkan kata-kata kotor....Ingat!!! Ilmu didikan hati bukan didikan otak.

Peribahasa 6

ADAKAH AIR YANG PENUH DI DALAM TONG ITU BERKOCAK, MELAINKAN AIR YANG SETENGAH TONG ITU JUGA YANG BERKOCAK?

Tong ialah sebuah bekas yang biasanya besar dan berbentuk selinder yang kebiasaannya digunakan untuk mengisi air. Sekiranya tong itu penuh dengan air, sudah tentulah air di dalam tong itu tidak berkocak. Namun, sekiranya setengah sahaja tong berisi air sudah tentulah air itu akan berkocak akibat goncangan yang kuat.Maksud peribahasa ini ialah orang yang tidak berilmu juga yang banyak bercakap.Maka hati-hati bila bercakap. Prof. Dr. Hamka pernah berkata kalau kita hendak lihat tahap pemikiran seseorang itu, lihatlah cara dia bercakap.

0 comments: